Thursday, April 8, 2010

Siapakah Tempat Anda Meluahkan/Berkongsi Masalah?

"Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul."


BERGANTUNG TANPA KECEWA

bergantung harap... kepada yang pasti, atau kepada yang tidak pasti?

Ada waktu, saya sedih. Saya bukanlah seorang yang kuat setiap masa.
Tetapi saya adalah seorang yang akan berlakon kuat sepanjang masa.
Saya sentiasa berjaga-jaga, agar sesiapa pun tidak akan menyangka yang
saya sedang kelemahan.

Saat-saat saya sedih, maka saya akan mencari tempat bergantung.
Dahulu, saya pernah meletakkan tempat bergantung saya kepada ibu bapa.
Tetapi sampai satu jangka masa, ibu bapa saya tidak berapa hendak
mendengar aduan saya. Kemudian, saya bertemu dengan beberapa orang
guru yang mengambil berat. Tetapi, sampai juga satu masa, mereka tidak
dapat mendengar aduan saya. Tidak lama kemudian, saya sandarkan
kebergantungan saya kepada sahabat. Mengikut pemikiran naif saya,
sahabat akan bersama kita susah atau senang. Tetapi tidak juga.
Sebaik-baik sahabat yang saya jumpa, belum lagi rasanya ada yang dapat
menyahut saya setiap masa. Akhirnya, saya tiada tempat untuk mengadu
bila bersedih. Saya sentiasa rasa tiada sesiapa yang faham, tiada
sesiapa yang boleh membantu, tiada siapa yang boleh saya gantungkan
harap saya kepada dia. Benar-benar tersudut di satu sudut yang sempit.

Ah…

Kepada siapakah yang sepatutnya saya bergantung harap dan serahkan
segala kepercayaan saya kepadanya?

Saya tercari-cari jawapan kepada soalan ini suatu masa dahulu. Saya
fikir, ramai manusia yang berfikiran seperti saya. Bila kelemahan,
mencari tempat untuk bersandar, tetapi tidak berjumpa. Akhirnya, hanya
gundah, resah, sugul, tekanan, semua itu menghimpit jiwa. Hidup jadi
tidak keruan dan terumbang ambing.

ALLAH…

Itulah jawapan yang saya jumpa. Hal ini kerana, setelah saya fikir
panjang dan secara mendalam, tiada tempat yang boleh saya sandarkan
secara benar, penuh keyakinan, tanpa keraguan, selain ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman,

“ Demikianlan( kebesaran ALLAH), DIAlah yang hak, dan apa sahaja yang
mereka seru selain DIA, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya ALLAH
itu Maha Tinggi lagi Maha Besar” Surah Al-Hajj ayat 62.

Sebagai manusia yang saban waktu akan diuji dengan pelbagai cubaan,
dugaan, cabaran dan masalah, maka tempat bergantung yang ampuh amat diperlukan bagi menjamin penerusan kerja di samping kekuatan yang meluap-luap.

Justeru, kita perlu bergantung kepada yang tidak akan lemah, kita
perlu bersandar kepada yang tidak akan bengkok, kita perlu percaya
kepada yang tidak akan menipu dan meninggalkan kita. Kekuatan, yang
menyahkan kita dari kelemahan, hanya akan datang dari aslinya
kekuatan. Kekuatan yang asli hanyalah kekuatan ALLAH SWT sebagai
PENCIPTA kekuatan. Segala kekuatan di dunia ini, yang ada pada gunung,
yang ada pada manusia, yang ada pada haiwan, dan segala makhluk di
alam ini, hanyalah percikan kecil kekuatanNya. Kepada DIAlah
sepatutnya kita menggantungkan harapan kita.




“ ALLAH yang menciptakan kamu, kemudian memberikanmu rezeki, lalu
mematikan kamu, kemudian menghidupkanmu semula, adakah antara mereka
yang kamu sekutukan dengan ALLAH itu dapat berbuat sesuatu sedemikian
itu(sebagaimana yang ALLAH lakukan)? Maha Suci DIA dan Maha Tinggi
dari apa yang mereka persekutukan” Ar-Rum ayat 40.

Malah, ALLAH SWT tidak akan lemah dengan masalah, tidak akan luput
dengan waktu, tidak akan sugul dengan ujian. DIA adalah PENCIPTA
kepada semua perkara, dan DIA tidak terganggu dengan apa perkara
sekalipun. Tiadalah wujud padaNya masalah. Malah, masalah itu pun
wujud adalah kerana DIA mahu mewujudkannya. Jika ALLAH katakan pada
masalah itu supaya menghilang, maka masalah itu akan menghilang.

Jadi, ALLAH sememangnya satu-satunya tempat yang layak untuk kita
pinta kekuatan. DIA sahaja tempat pergantungan kita yang ampuh. DIA
yang menguasai masalah, dan menurunkan masalah itu untuk menguji
hamba-hambaNya. Jika kita mahu kuat, mahu bangkit dari kelemahan, maka
TUAN kepada kekuatan, TUAN kepada kelemahan, dan TUAN kepada masalah
inilah yang patut kita cari.

“ Sesungguhnya ALLAH, DIAlah Pemberi Rezeki yang mempunyai kekuatan
lagi sangat kukuh”Surah Adz-Dzariyat ayat 58.

Bila kita kelemahan, kita akan suka mengadu. Bila kita mengadu, maka
kita suka agar aduan kita itu terjawab. Saya amat arif akan rasa sakit
hati bila kita mengadu, tetapi aduan kita tidak terjawab. Saya sudah
banyak kali mengadu dan meminta belas kepada manusia. Dan banyak kali
saya dikecewakan dengan penerimaan mereka.

Tetapi ALLAH SWT, DIA tidak lengah. Bila kita mengadu kepadaNya,
secara tidak langsung kita akan terasa tenang dan lapang.

“ dan milik ALLAH meliputi segala rahsia langit dan bumi dan kepadaNya
juga segala urusan dikembalikan, maka sembahlah DIA dan bertawakkalah
kepadaNya. Dan RABB kamu tidak akan lengah terhadap apa yang kamu
kerjakan” Surah Hud 123.

DIA amat sayangkan hamba-hambaNya yang meminta. Sehingga DIA sendiri
menawarkan kepada kita untuk meminta.

“ Dan RABB kamu berkata, berdoalah kepadaKu, nescaya akan
Kuperkenankan” Al-Mu’minuun Ayat 60.

DIA jugalah yang meyakinkan kepada kita bahawa, DIA sentiasa dekat dengan kita.

“Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu(wahai Muhammad) berkenaan AKU,
sesungguhnya AKU adalah amat dekat…” Al-Baqarah ayat 186.

Maka, bukankah ALLAH tempat paling sesuai kita bergantung harap?
Tempat paling sesuai untuk kita mengadu segala masalah? DIA adalah
yang paling memberikan perhatian, DIAlah yang akan mendengar tanpa
jemu, DIAlah PEMILIK ketenangan, DIAlah PEMILIK kesusahan. DIAlah
segala-galanya. Bergantung kepadaNya, adalah satu pergantungan tanpa
kecewa.

Anda tidak percaya?

Apakata anda cuba dahulu…

Rendahkanlah diri kepada RABB kita ini..

Ya... RABB kita.. bukan RABB orang lain.

Semoga ALLAH redha, dan memberikan kekuatan kepada kita semua!

Mari Menjadi HAMBA!



1 comment: